RSS

RAYUAN KEPADA KEPADA KERAJAAN DARI PEGUAM BUMIPUTERA KEDAH!

14 Jul

RAYUAN KEPADA KERAJAAN UNTUK CAMPUR TANGAN TEGAS TERHADAP BANK-BANK, INSTITUSI KEWANGAN DAN PEMAJU PERUMAHAN MILIKAN KERAJAAN (GLC) BERKENAAN PANEL GUAMAN KEPADA FIRMA-FIRMA GUAMAN BUMIPUTERA.

YAB Dato` Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak,

Resolusi ini kami sampaikan kepada YAB Dato` Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, Menteri Kewangan 1 Malaysia dan juga Ahli Parlimen Pekan yang sangat kami hormati, percayai dan yakini berkemampuan memberi penyelesaian akhir dan muktamad kepada permasalahan di atas yang telah wujud sekian lama dan dibiarkan tidak selesai di mana campur tangan Kerajaan kelak bakal memberi impak segera kepada politik UMNO dan Barisan Nasional, mengubah persepsi kepada kekuatan Kerajaan UMNO/Barisan Nasional dalam mengawal “Little Napoleon” yang terdiri daripada penjawat-penjawat awam dan pegawai-pegawai GLC (Kenyataan YAB Dato` Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dalam Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 21-07-2010) dan kesan ekonomi kepada orang-orang Melayu/Bumiputera yang tidak sedikit bilangannya bergantung hidup kepada Firma-Firma Guaman Bumiputera di seluruh Malaysia.

Pihak kami mewakili suara akar umbi seluruh pemilik-pemilik Firma Guaman Bumiputera di Kedah khususnya dan di seluruh negeri di Malaysia amnya yang mengalami tekanan dan penindasan sepanjang masa daripada Bank-Bank, Institusi Kewangan dan Pemaju-Pemaju Perumahan Milikan Kerajaan (GLC) (“selepas ini disebut sebagai “GLC”) dalam soal pemberian panel guaman yang langsung tidak berlandaskan kepada merit tulen, keupayaan perkhidmatan, kualiti kerja dan semangat menyokong perniagaan Firma-Firma Guaman Bumiputera sebagaimana Individu-Individu Bumiputera dalam GLC menolong dan membantu Firma-Firma Guaman Milik Bukan Bumiputera daripada mereka bertatih sehinggalah mereka berjaya seperti yang dapat kita lihat pada hari ini.

Pihak kami ingin memberikan beberapa fakta yang mungkin selama ini terselindung atau kurang diketahui oleh pihak Kerajaan berkenaan “Konsep Panel Guaman” yang sangat berbeza sama sekali dengan pemberian tender-tender Kerajaan kepada Kontraktor dan juga Pembekal. Panel Guaman yang boleh diberikan oleh GLC adalah langsung tidak menyentuh tentang kewangan GLC tersebut. GLC tidak perlu mengeluarkan sebarang peruntukan kewangan untuk memberi Panel Guaman kerana Firma Guaman bukanlah ingin membekal barangan yang memerlukan GLC membayar secara hangus kepada Firma-Firma Guaman sebagai kos modal GLC tersebut tetapi Firma Guaman membawa masuk dan memperkenalkan Pelanggan kepada GLC tersebut yang secara tidak langsung memberi keuntungan kepada Kerajaan akhirnya. Panel Guaman hanyalah secara realitinya adalah “Kebenaran bertulis untuk membenarkan mana-mana firma guaman mengendalikan dokumen perjanjian jual beli, pinjaman/pembiayaan atau kes-kes litigasi Mahkamah untuk GLC tanpa melibatkan pengaliran keluar wang GLC tersebut”. Semua kos dan wang adalah ditanggung oleh pelanggan-pelanggan yang terdiri daripada orang ramai yang berstatus rakyat Malaysia atau asing.

Justeru, segala alasan penolakan yang diberi oleh GLC terhadap Firma Guaman Bumiputera selama ini seperti:-

1)      Tiada kekosongan panel buat masa ini;

 2)      Panel Guaman sudah penuh;

 3)      Panel Guaman dibekukan buat sementara waktu;

 4)      Firma Guaman perlu mempunyai bilangan peguam yang berpengalaman sekurang-kurangnya tujuh(7) ke sepuluh (10) tahun;

 5)      Hanya boleh merujuk pelanggan kepada Bank GLC bagi kes berjumlah sekurang-kurangnya RM250,000.00 sahaja;

 6)      Caruman Insurans perlu sekurang-kurangnya RM5,000.000.00;

 7)      Mempunyai Akaun Semasa berbaki sekurang-kurangnya RM10,000.00;

 8)      Perlu meletakkan simpanan tetap sebanyak puluhan dan ratusan ribu dalam bank-bank untuk diberi panel dalam kes-kes Litigasi.

 DAN syarat-syarat lain yang sentiasa dicipta daripada semasa ke semasa sebagai alasan penolakan kepada Firma-Firma Guaman Milik Bumiputera adalah langsung tidak berasas dan tidak pun menyumbang kepada produktivi, kualiti kerja, keuntungan GLC, kesan ekonomi kepada GLC atau apa-apa kesan positif yang lain dalam jangka masa pendek atau panjang.

Alasan-alasan yang diberi oleh Individu-individu Bumiputera yang berada dalam GLC tersebut untuk tidak memberi panel kepada Firma Guaman Bumiputera hanya kerana mereka menyedari bahawa Kerajaan tidak mengawal kuasa yang ada pada mereka dan  Kerajaan enggan untuk campur tangan atas prinsip ketelusan dan akauntibiliti yang pada hakikatnya membolehkan mereka menggunakan kuasa secara tidak betul dengan sewenang-wenangnya. Ini kerana alasan 1) Tiada kekosongan panel buat masa ini, 2) Panel Guaman sudah penuh, 3) Firma Guaman perlu mempunyai bilangan peguam yang berpengalaman sekurang-kurangnya tujuh(7) ke sepuluh (10) tahun, 4) hanya boleh merujuk pelanggan kepada Bank GLC bagi kes berjumlah sekurang-kurangnya RM250,000.00 sahaja,       5) Caruman Insurans perlu sekurang-kurangnya RM5,000.000.00, 6) perlu mempunyai Akaun Semasa berbaki sekurang-kurangnya RM10,000.00, 7) perlu meletakkan simpanan tetap sebanyak puluhan dan ratusan ribu dalam bank-bank dan syarat-syarat lain yang sentiasa dicipta daripada semasa ke semasa sebagai alasan penolakan adalah tidak betul dan patut dihapuskan sama sekali kerana Panel Guaman bukanlah seperti kita ingin menerima pelajar memasuki universiti yang memerlukan kekosongan tempat atau tender kerajaan yang memerlukan peruntukan kewangan tetapi Panel Guaman hanyalah kebenaran bertulis dan pelanggan dicari oleh firma guaman itu sendiri, tidak ada kena mengena bahawa Panel Guaman sudah penuh kerana kes-kes itu dibawa kepada Bank GLC oleh firma guaman sendiri, untuk melaksanakan dokumen pinjaman/pembiayaan tidak memerlukan pengalaman sehingga tujuh tahun ke sepuluh tahun kerana apa yang penting adalah bukti bahawa firma guaman itu mampu melaksanakan perjanjian jual beli, dokumen pinjaman/pembiayaan atau kes-kes litigasi apabila firma guaman tersebut menghantar laporan kes-kes ke bank atau pemaju perumahan, kenapa hanya boleh merujuk pelanggan yang ingin membuat pinjaman sekurang-kurangnya RM250,000.00 sahaja sedangkan walau berapa amaun pinjaman sekalipun tetap membawa keuntungan kepada Bank GLC dan jika begitu kenapa Bank GLC masih memberi pinjaman di bawah RM250,000.00 jika ingin mewajibkan firma guaman merujuk kes tidak kurang daripada jumlah tersebut, caruman sehingga RM5,000.000.00 adalah syarat yang tidak munasabah yang sengaja direka cipta oleh Individu Bumiputera dalam Bank GLC tersebut untuk menidakkan peluang Firma Guaman Bumiputera kerana kenapa perlu sehingga setinggi itu carumannya padahal rata-rata Firma Guaman Bumiputera tidak pun diberi peluang sepanjang operasinya mengendalikan kes pinjaman berjumlah RM1,000.000.00, kenapa perlu mengekalkan wang dalam akaun semasa berbaki sebanyak RM10,000.00 dan mewajibkan menyimpan simpanan tetap dalam jumlah puluhan dan ratusan ribu ringgit yang tidak ada kena mengena dengan perkhidmatan peguam dan syarat-syarat lain yang akan sentiasa direka cipta dari semasa ke semasa jika Firma-Firma Guaman Bumiputera memenuhi syarat-syarat di atas.

Pihak kami ingin menegaskan dan memberitahu Kerajaan secara fakta bahawa GLC itu sendiri sama sekali tidak akan menanggung apa-apa kerugian kewangan pun dengan memberi Panel Guaman kepada Firma-Firma Guaman Milik Bumiputera. Oleh itu, rayuan kami bagi campur tangan positif Kerajaan terhadap GLC dalam isu Panel Guaman bukanlah permintaan yang mustahil atau sukar dilaksanakan bahkan rayuan kami ini sekiranya diambil perhatian dan tindakan segera oleh Kerajaan akan memberi kesan yang sangat positif dari sudut Politik, Ekonomi dan Sosial Kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO/Barisan Nasional secara khususnya dan juga masyarakat Bumiputera secara amnya. Ini kerana kegagalan Kerajaan bertindak dalam perkara Panel Guaman akan memberi persepsi negatif kepada Pemilik-Pemilik Firma Guaman Bumiputera dan pekerja-pekerja mereka bahawa Kerajaan tidak bersungguh-sungguh untuk menghapuskan pengkhianatan Individu Bumiputera yang berada dalam GLC terhadap Firma-Firma Guaman Bumiputera itu sendiri. Dalam sudut lain, Kerajaan perlu memikirkan undi majoriti yang boleh diberikan kepada Kerajaan oleh Peniaga-Peniaga Bumiputera daripada Kerajaan terus sia-sia mempertahankan minoriti Individu Bumiputera yang khianat kepada bangsanya sendiri yang berada dalam GLC tersebut. Bahkan dalam sudut lain, Individu-individu Melayu yang berada dalam GLC itu sendiri lupa bahawa jawatan yang mereka pegang dalam GLC diberi bukan kerana merit atau kualiti mereka tetapi kerana mereka adalah Bumiputera dan mereka perlu ingat bahawa apa kurangnya kaum-kaum lain sehingga Kerajaan perlu mengambil mereka untuk bekerja di GLC tersebut? Memang benar kata Negarawan yang sangat kita cintai, YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad, “Melayu mudah lupa” dan Bangsa Melayu/Bumiputera begitu “apologetik” dalam mempertahankan hak-hak sah mereka meskipun dalam keadaan Bangsa Melayu/Bumiputera sudah hampir tiada apa-apa kedudukan lagi dalam ekonomi Malaysia.

 

GLC yang dimaksudkan sangat negatif untuk memberi Panel Guaman kepada Firma Guaman Bumiputera sebagaimana GLC tersebut menolong dan membantu Firma-Firma Guaman Bukan Bumiputera walaupun kualitinya adalah sama atau kurang daripada Firma-Firma Guaman Bumiputera adalah Bank Simpanan Nasional (BSN), Malaysia Building Society Berhad (MBSB), Affin Bank Berhad, CIMB, Bank GLC yang lain, Sime Darby, Uda Holdings Berhad, TH Properties, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Putrajaya Holdings Sdn. Bhd., Anak-Anak Syarikat Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Pemaju Perumahan GLC yang lain. Pihak kami sangat kecewa kerana tiada sebab GLC tersebut enggan untuk menyokong Firma Guaman Bumiputera sedangkan GLC tersebut ditolong dan dibantu oleh Kerajaan sepenuhnya dari segala segi pada sepanjang masa baik dalam soal modal, kemudahan, aset tak alih,peluang-peluang perniagaan dan pelbagai lagi. Mengapa GLC yang tidak boleh berdiri di kaki sendiri itu perlu menindas perniagaan kecil Bumiputera yang sepenuhnya menggunakan modal mereka sendiri tanpa bergantung sepanjang masa kepada Kerajaan seperti GLC?

Untuk pengetahuan YAB Dato` Sri lebih lanjut, mana-mana GLC di dunia ini tidak pernah mengalami kerugian, kejatuhan, kebankrapan atau kehancuran disebabkan oleh Firma-Firma Guaman. Lihat sahajalah BBMB, Lehman Brothers dan bank-bank lain yang jatuh dan sudah tidak wujud lagi hanya berpunca daripada penyelewengan pegawai-pegawai bank-bank tersebut dengan meluluskan pinjaman kepada individu atau syarikat yang diketahui tidak mempunyai kemampuan membayar balik, pakat-jahat pegawai-pegawai bank-bank berkenaan untuk menipu bank yang merupakan majikan mereka sendiri dengan cara memalsukan dokumen pinjaman, tidak berkerja bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran pelanggan seperti yang dikehendaki oleh bank walaupun dibayar gaji secara tetap pada setiap bulan, tidak memberi komitmen yang penuh dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan dan perbelanjaan yang berlebihan terhadap perkara-perkara yang tidak perlu seperti menukar logo, penjenamaan semula dan sebagainya tanpa sebarang perubahan kepada kualiti kerja. Semua sebab kejatuhan dan kerugian GLC langsung tidak ada kaitan dengan Firma-Firma Guaman Bumiputera dan kenapa perlu menidakkan hak Firma-Firma Guaman Bumiputera yang mempunyai segala kelengkapan dan kemampuan untuk menjalankan perniagaan mereka yang akhirnya akan membangunkan masyarakat Bumiputera yang berdaya saing secara keseluruhannya.

Pihak kami bukanlah memberi kenyataan atau retorika kosong berkenaan perkara di atas dan kami mempunyai bukti jelas bahawa terdapat Bank yang hanya mengenakan syarat-syarat yang sangat minimum bahawa Firma Guaman itu perlu mempunyai rakan kongsi dan mempunyai insurans sekurang-kurangnya RM1,000.000.00 sahaja dan Bank tersebut jauh lebih maju dan berjaya daripada Bank GLC yang sesetengah daripadanya bukan sahaja mundur dari segi keuntungan kewangan, kualiti kerja, kecepatan bekerja, tidak mempunyai ketahanan bersaing di kaki sendiri bahkan sesetengah Bank GLC itu sendiri sudah tidak wujud lagi. Bank yang kami maksudkan adalah Public Bank Berhad, sebuah bank milik individu iaitu Tan Sri Dr Teh Hong Piow. Oleh itu, tidak ada alasan lagi bagi GLC untuk terus menekan Firma-Firma Guaman Bumiputera berkenaan Panel Guaman yang langsung tiada kaitan dengan pencapaian perniagaan GLC itu sendiri.

Untuk pengetahuan YAB Dato` Sri, ramai Bumiputera yang begitu cemerlang dalam bidang perniagaan firma guaman. Justeru adalah sangat malang sekiranya Kerajaan membiarkan bidang perkhidmatan yang berpotensi kepada Bumiputera ini terus malap hanya disebabkan keengganan Kerajaan untuk campur tangan dalam GLC berkenaan panel guaman. Adalah mustahil bagi Kerajaan untuk memacu negara mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi khususnya dalam bidang berpotensi seperti firma guaman ini kerana pemilik-pemilik firma guaman Bumiputera tidak akan mampu untuk menggaji pekerja-pekerja mereka dengan gaji yang tinggi kerana mereka bukan tidak mampu bersaing dalam perniagaan tetapi dipaksa untuk tidak mampu bertahan kerana pengkhianatan Individu-individu Bumiputera dalam GLC itu sendiri.

Adalah amat malang sekali jika segala perancangan murni oleh Kerajaan dalam Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) selaku sekretariat kepada Majlis Tindakan Agenda Bumiputera yang mempunyai 5 (lima) fungsi utama iaitu keusahawanan dan penciptaan kekayaan, pembiayaan, pendidikan dan pekerjaan, kajian institusi dan instrumen dasar dan pengurusan pemilik tidak dapat diterjemahkan kepada tindakan yang konkrit lagi nyata kepada Bumiputera akibat tidak ingin campur tangan secara positif dalam GLC yang sangat apologetik dalam membantu Bumiputera.

Justeru, pihak kami merasakan bahawa sudah sampai masanya bagi pihak Kerajaan bertegas tanpa sebarang kompromi dan menzahirkan segala perancangan dan polisi secara tindakan konkrit yang boleh dilihat dan dirasai oleh Bumiputera di Malaysia. Segala usaha Kerajaan untuk memenangi hati pengundi majoriti iaitu bangsa Melayu/Bumiputera akan terus menjadi

sia-sia sekiranya setiap perkara yang dirancang oleh Kerajaan dikhianati secara terus menerus oleh minoriti bangsa Melayu/Bumiputera yang berada dalam GLC itu sendiri. Lebih bertambah malang lagi sekiranya Kerajaan setelah diberitahu akan perkara ini tetapi tetap mendiamkan diri tanpa mengambil sebarang tindakan sehinggalah di suatu masa nanti, segala kesedaran dan keazaman kita untuk menolong bangsa Melayu/Bumiputera sudah terlalu lambat dan tidak berguna lagi seperti mana di Singapura.

YAB Dato` Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak,

8 (LAPAN) TUNTUTAN MUKTAMAD

1)      Kerajaan perlu menggunakan kuasa muktamad terhadap Bank dan Pemaju Perumahan GLC berkenaan Panel Guaman ini kerana amalan menyekat firma guaman untuk menjadi panel tidak sedikitpun memberi keuntungan kepada Bank dan Pemaju Perumahan GLC bahkan membawa kerugian ekonomi kepada Bank dan Pemaju Perumahan GLC tersebut akibat pelanggan telah dirujuk kepada Bank Persendirian yang lain atau pelanggan membatalkan pembelian rumah daripada Pemaju Perumahan GLC. Kegagalan Kerajaan menangani isu panel ini memberi impak yang sangat negatif kepada politik UMNO/Barisan Nasional kerana timbul perasaan tidak puas hati secara kekal di hati majoriti peniaga-peniaga Melayu pada sepanjang masa dan persepsi rakyat bukanlah kesalahan minoriti Individu Bumiputera dalam Bank dan Pemaju Perumahan GLC yang mengkhianati peniaga-peniaga Bumiputera tetapi berpunca daripada Kerajaan yang enggan dan tidak tegas menanganinya;

2)      Menghapuskan syarat Pengalaman Atas Kertas (so called experience on paper) dan menggantikan dengan prestasi sebenar dan kualiti peguam serta firma guaman;

3)      Menghapuskan polisi yang menghadkan bilangan firma guaman sebagai panel kerana setiap firma guaman membawa pelanggan(keuntungan) kepada Bank dan Pemaju Perumahan GLC;

4)      Tidak menetapkan amaun pinjaman perumahan seseorang pelanggan yang hendak dirujuk oleh Firma Guaman Bumiputera kepada Bank GLC kerana amaun pinjaman perumahan adalah bersifat relatif kepada lokasi dan negeri firma guaman itu beroperasi dan walau berapa pun amaun pinjaman, ianya tetap memberi keuntungan kepada Bank GLC;

5)      Insurans Perlindungan Professional perlu ditetapkan hanya RM1,000.000.00 sahaja kerana jumlah tersebut sudah terlalu mencukupi kerana hanya sebilangan yang sangat kecil sahaja firma guaman mendapat kes pada jumlah tersebut dan kadar Insurans Perlindungan Professional boleh ditambah daripada semasa ke semasa jika sesebuah firma guaman itu mengendalikan kes-kes conveyancing dan litigation daripada Bank GLC dalam amaun yang tinggi;

6)      Membenarkan secara WAJIB Firma Guaman Bumiputera mengendalikan kes-kes Conveyancing secara Ad-Hoc bagi Bank GLC tanpa cuba memberi dan mencipta    alasan untuk sengaja tidak melayakkan Firma Guaman Bumiputera mengendalikan kes-kes di mana pelanggan itu dibawa dan dirujuk sendiri oleh Firma Guaman Bumiputera ke Bank GLC atau Pelanggan berhak untuk memilih bagi menggunakan perkhidmatan Firma Guaman Milik Bumiputera tersebut;

7)      Menghapuskan sama sekali syarat bagi Firma Guaman Bumiputera membuka simpanan tetap (fixed deposit) atau akaun semasa dalam baki tertentu di Bank GLC sebelum dibenarkan mengendalikan kes-kes Conveyancing dan Litigation kerana pelanggan yang dirujuk oleh firma guaman kepada Bank GLC sudah memberi keuntungan yang terlalu besar kepada Bank GLC tersebut; dan

8)      MEWAJIBKAN setiap Pemaju Perumahan Milikan Kerajaan seperti Sime Darby, TH Properties, Uda Holdings Berhad, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. dan Pemaju-Pemaju Perumahan GLC yang lain membahagikan unit-unit rumah dalam projek perumahan mereka kepada Firma-Firma Guaman Bumiputera atau setidak-tidaknya membenarkan pelanggan yang dirujuk oleh Firma-Firma Guaman Bumiputera itu dikembalikan kepada Firma-Firma Guaman berkenaan masing-masing tanpa sebarang diskriminasi sama ada yang tersembunyi atau terang-terangan.

 YAB Dato` Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak,

 Pihak kami selaku yang menyampaikan suara sebenar pemilik-pemilik Firma Guaman Bumiputera di seluruh Kedah khususnya dan Malaysia umumnya merayu kepada ketegasan  Kerajaan tanpa kompromi di atas hak kami untuk mendapat peluang ekonomi daripada GLC seperti termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan. Ini sejajar dengan kenyataan bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Datuk Halipah Esa yang membentangkan kertas kerja bertajuk Agenda Bumiputera: Menterjemah Aspirasi Menggalas Tanggungjawab dalam Perhimpunan Melayu Perak 2010 anjuran Gagasan Melayu Perak (GMP) menegaskan bahawa, ”Ekonomi negara sekarang sedang meningkat dan membangun, tetapi nasib orang Melayu masih di takuk lama dan tidak berkembang”.

Pihak kami bersedia untuk berhadapan dengan mana-mana Individu-individu Melayu yang diberi kuasa oleh Kerajaan berkenaan Panel Guaman dalam Bank dan Pemaju Perumahan  GLC tersebut bagi mempertahankan kebenaran setiap kata-kata kami ini. Pihak kami bersedia untuk berjumpa di mana-mana sahaja bagi menyelesaikan masalah perniagaan Firma Guaman Bumiputera demi seluruh pemilik-pemilik Firma Guaman Bumiputera dan pekerja-pekerjanya di seluruh Malaysia.

 Akhir sekali, Pihak kami atas semangat slogan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, merayu dengan segala kerendahan diri kepada YAB Dato` Sri yang mewarisi perjuangan Negarawan yang sangat kami cintai dan terhutang budi kepadanya iaitu, YAB Tun Abdul Razak Hussein dan YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mempertahankan dan membangunkan Melayu/Bumiputera selaku bangsa yang dihormati dalam bidang politik, ekonomi dan sosial, maka kami dengan ini menaruh harapan yang sangat tinggi agar YAB Dato` Sri dapat menyelesaikan masalah yang sangat runcing kepada ekonomi Bumiputera ini dengan kadar segera. Semoga Allah s.w.t merahmati hidup dan perjalanan karier politik YAB Dato` Sri demi Agama, Bangsa dan Negara.

 

 
7 Comments

Posted by on July 14, 2011 in Uncategorized

 

7 responses to “RAYUAN KEPADA KEPADA KERAJAAN DARI PEGUAM BUMIPUTERA KEDAH!

  1. Abdullah

    July 14, 2011 at 9:39 pm

    aku tengok lawyer melayu malas nak buat kerja mahkamah..masuk court handle cases ..asyik nak buat conveyencing aje…kes mahkamah itu banyak duit juga..ni lawyer keling haprak pundek dan benggali aje..yg lawyer Cina sudah lah mereka dapat kerja company /developer cina aje yg lansung tak akan mengambil lawyer melayu..jadi yg Melayu tu harapkan GLC aje lah…kesian.

     
    • Jihad

      July 15, 2011 at 2:48 am

      Tak timbul langsung isu lawyer Melayu malas nak pergi Court….Terlalu ramai lawyer Melayu handle court cases… Bab Lawyer nak buat kes bank glc tu,itu memang hak Melayu..Dah tahu developer cina dan company cina tak bagi kat lawyer Melayu, kenapa GLC tak nak sokong Melayu tapi cina sokong pulak. Kalau betul GLC tu bukan hak Melayu, kenapa tak bahagi sama rata sahaja jawatan-jawatan dalam GLC tu antara Melayu, Cina dan India. Memang betul kata Tun Mahathir di Mesir baru-baru ni, Umat Islam mudah diperalat dan digula-gulakan oleh org kafir, memang dasar pengkhianat.

       
  2. kassim

    July 14, 2011 at 10:39 pm

    kedah di bawah takbir PAS sekarang,mana ada bumiputra2 ini,semuanya on merit “survival of the fittest”
    jangan jadi pemalas dan bergantung kepada kerajaan dan glc untuk cari makan “compete in the open market”

    hidup APS, hidup DAP,hidup PKR!

     
  3. isadaudt suka aku

    July 15, 2011 at 1:13 am

    teruk sangat kan???

     
  4. anti bohmau

    July 15, 2011 at 3:48 am

    learn more, work harder, watch others working…

    then learn again, work harder, watch more…

    you’ll survive & become successful…

    tp kalau harap kerajaan semata…hmm

     
  5. patriot

    July 15, 2011 at 3:12 pm

    YAB Dato Seri Najib, saya setuju dan bersimpati bukan saja dengan Peguam Melayu malahan Semua Professional Melayu saperti Architect, QS , Jurutera dll serta Syarikat Yang Bertaraf Bumiputera. Kalau Kerajaan Federal, Negeri dan Syaarikat GLC tak tolong, siapa lagi nak tolong.

    Macam mana nak capai Equity 30% Bumiputera, sekiranya Badan Kerajaan dan Separa Kerajaan sendiri tidak Kuatkuasakan Syarat Harga Memihak kepada Syarikat Bumiputera yang telah ditetapkan olih Kementerian Kewangan sendiri :-

    a. Hingga 10 Juta – 10%
    b. 10 Juta hingga 100 Juta – 5%
    c. 100 Juta jeatas – 3%

    Adakah arahan ini benar benar dilaksanakan.

     
  6. Peguam

    July 15, 2011 at 11:53 pm

    assalamualaikum,

    saya menyokong rayuan tersebut, sayapun seorang peguam dan hampir 16 thn practise guaman di lembah kelang, yang melibatkan litigation (civil & criminal), convenyancing dan corporate..suasana practise guaman disini mungkin berlainan dengan di kedah, klien saya meliputi semua kaum, cara mendapat klen yang berbilang kaum memang susah apalagi kaum cina, tp sebenarnya kualiti dan kepercayaan yang mereka carikan..

    Tapi apa yang menyedihkan saya apabila melihat firma bukan bumiputra mengendali kes2 samada litigation atau conveyencing & corporate yang milik GLC. sya bukan merayu tp perlulah dipertimbangkan pernyataan dalam rayuan tersebut, terus terang saya katakan bahawa tiada/kurang firma guaman bumiputra menjadi panel guaman bagi syarikat pemaju, bank, milik org cina, tidak saya salahkan mereka kerana tidak melantik firma guaman melayu kerana jelas masalah kepercayaan terhadap firma bumiputra hanya kepercayaan bersyarat.

    Oleh yang demikian walaupun saya menyokong rayuan peguam bumiputra kedah tersebut tapi perlu diingat market firma guaman bumiputra dimata kaum lain masih ada kalau kita memberi keyakinan kepada mereka.

     

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s