RSS

Masa untuk Bermuahasabah Diri! Mesti Baca

15 Mar

MANUSIA memang cepat teruja. Ada baik dan buruknya sifat sebegitu. Baiknya sifat cepat teruja menunjukkan kepekaan manusia terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Apabila mereka peka maka tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan pantas. Justeru sesuatu isu dapat ditangani secara berkesan.

Buruknya, cepat teruja menyebabkan manusia mudah berpuas hati yang kemudiannya membawa timbulnya rasa selesa. Apatah lagi apabila keterujaan itu melibatkan pihak musuh, maka rasa teruja akan disusuli dengan tepukan gemuruh.

Hakikatnya, sifat cepat teruja juga cenderung menyebabkan seseorang itu mudah lupa diri. Terlalu teruja akan mendorong sesuatu pihak untuk cepat merumuskan kelemahan satu pihak yang lain.

Sebab itu dalam tindakan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) meninggalkan parti itu, Barisan Nasional (BN) tidak boleh terlalu cepat teruja. Perkembangan itu bukan sesuatu yang memeranjatkan. Malah telah diduga akan ada pemimpin PKR bertindak sedemikian. Ramalan itu telah berkumandang sejak pakatan pembangkang menang di lima negeri pada Pilihan Raya Umum 2008.

Ketika itu ramai percaya bahawa ikatan yang terjalin antara PKR, Pas dan DAP atas matlamat mahu menumbangkan kerajaan BN tidak akan bertahan lama. Biarpun selepas dua tahun masih ada benang halus mengikat ketiga-tiga parti itu, namun gunting kecil sedang menunggu untuk memutuskan ikatan tersebut.

Proses itu telah bermula apabila seorang demi seorang pemimpin PKR keluar meninggalkan parti itu sehingga menimbulkan rasa teruja banyak pihak tentang apa sebenarnya di sebalik tindakan tersebut.

Adakah pemimpin yang meletakkan jawatan dan meninggalkan PKR benar-benar tidak berpuas hati terhadap PKR atau mereka mempunyai agenda lain yang tidak mampu diselongkar oleh sesiapa pun. Persoalan seumpama itu memang timbul. Apatah lagi apabila mereka yang meninggalkan PKR tidak menyertai mana-mana parti sebaliknya selesa menggunakan platform bebas.

Isu paling penting untuk direnung adakah tindakan pemimpin PKR yang terdiri daripada ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Rakyat (ADUN) itu melemahkan PKR. Biar pun ramai bertanggapan PKR sememangnya telah lemah dan tindakan tersebut melemahkan lagi parti itu, namun congakan yang dibuat tidak seharusnya semudah mengira tiga jari.

PKR dianggotai oleh ahli-ahli yang tegar pendirian politik mereka. Kepercayaan politik mereka berbeza dengan parti-parti lain waima di kalangan parti pembangkang sendiri. Pendirian politik mereka unik dan tersendiri membezakan PKR dengan DAP dan Pas.

Matlamat penubuhan Pas misalnya untuk memperjuangkan penubuhan negara Islam. Agama adalah matlamat mereka, yang kemudiannya membawa kepada bangsa dan negara. Biar pun ada individu yang dipandang tinggi dan mulia dalam Pas namun parti itu tidak menjadikan individu sebagai terasnya.

Perjuangan

DAP pula dengan agenda Malaysian Malaysia yang amat berkait rapat dengan perjuangan kesamarataan dan bukannya kesaksamaan. Memang ada pemimpin veteran DAP yang masih berakar umbi, namun pelapisnya sama berani menuntut agenda kesamarataan itu.

UMNO membawa agenda yang sama, mahu menguatkan ummah, memperkasakan bangsa dan membangunkan negara. Dalam perjuangan tersebut UMNO bergerak bersama MCA, MIC dan parti-parti yang mewakili kaum pribumi di Sabah dan Sarawak. Kesepakatan parti itu dinaungi induk BN.

Manakala PKR, Pas dan DAP yang saling tidak bersetuju tentang matlamat perjuangan masing-masing berkompromi atas nama pakatan pembangkang. Matlamat tunggal pakatan adalah untuk menumbangkan kerajaan BN.

Itu perbezaan BN dan pakatan pembangkang.

Kiblat politik pengikut PKR pula adalah pemimpin. Mereka mahu menjulang Anwar sebagai Perdana Menteri. Ini kerana asas penubuhan parti itu adalah bagi mempertahankan individu. PKR bermula dengan Parti Keadilan Nasional yang bermati-matian mahu menegakkan keadilan (mengikut prinsip dan kepercayaan mereka).

Keyakinan mereka teguh – bahawa Putrajaya akan diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Biar pun ada kalangan pemimpin PKR mula meragui perjuangan parti itu namun mereka tetap setia. Ia didorong oleh kepercayaan bahawa Anwar akan menjadi pemimpin nombor satu negara dan mereka tidak mahu terlepas daripada mendapat habuan.

Bagi mereka kesemua itu tidak mustahil. Siapa yang bermimpi lima negeri boleh jatuh ke tangan pembangkang dalam masa sehari? Siapa sangka calon-calon tangkap muat, yang berada dalam penjara, yang masih mentah, tidak ada kelayakan akademik sekelip mata bergelar rakyat. Apabila bergelar Yang Berhormat dan terpilih pula EXCO kerajaan negeri, maka habuan yang menunggu bukan sedikit.

Dan bagi mereka sejarah itu berulang dan memang betul sejarah berulang. Itu antara punca ketegaran mereka untuk memastikan PKR terus kukuh. Dalam hal ini sahabat dalam pakatan pembangkang yang paling menunjukkan kesetiaan pastinya diberi layanan istimewa. Sebab itu pemimpin PKR selesa dengan DAP. Ini kerana DAP sering sependapat dengan pemimpin PKR – biar pun pernah Karpal Singh lantang bersuara bahawa Anwar mesti letak jawatan kerana menyebabkan pakatan pembangkang porak-peranda tetapi kata-kata itu bersifat sementara. Nada Karpal kini berbeza.

Lain pula ceritanya PKR dan Pas. Ada sahaja perbezaan pendapat terutama apabila Pas mahu menguar-uarkan keinginan untuk menjalin kerjasama dengan UMNO. Ada percanggahan, malah dalam banyak hal pandangan Pas tidak diperlukan. Lontaran idea pemimpin Pas dipandang sepi dan sering bercanggah dengan penasihat PKR yang satu itu.

Dalam keadaan banyak pihak ingin mengambil kesempatan daripada kelemahan dan kekuatan, adalah penting untuk BN mengurangkan rasa teruja terhadap perkembangan terkini dalam PKR. Walaupun retak menanti belah atau nakhoda terjun ke laut meninggalkan bahtera, tetapi semangat untuk mengulangi kegemilangan yang dicipta secara tidak sengaja dua tahun lalu di kalangan ahli-ahli PKR dan parti yang menjadi rakan masih membara.

BN mesti mengambil pengajaran daripada perkembangan tersebut dan bukannya cepat teruja lantas membuat kesimpulan bahawa PKR semakin lemah. Pemimpin-pemimpin BN mesti bertanya diri sendiri adakah tindakan pemimpin PKR meninggalkan parti itu membawa kekuatan kepada BN. Mampukah perkembangan itu membakar semangat di kalangan komponen BN untuk memperhebatkan strategi mereka dalam menawarkan khidmat yang terbaik untuk rakyat.

Tindakan

Atau adakah tindakan tersebut memang melemahkan PKR dan pada masa yang sama gagal dimanfaatkan oleh BN.

Perlu diingat tidak seorang pun ahli Parlimen dan ADUN yang meninggalkan PKR itu menyertai UMNO. Mereka mahu bergerak sebagai ahli Parlimen bebas. Ada yang sekadar meletakkan jawatan tetapi masih kekal dalam PKR. Ia hanya tambahan suara ahli-ahli Parlimen bebas yang boleh menghentam kanan dan kiri. Bukan bermakna bebas suara mereka akan condong kepada BN, mungkin kelak ada yang akan sentiasa menyalak kerajaan pimpinan BN.

Harus diakui, Anwar adalah manusia yang sarat dengan strategi. Kemenangan 8 Mac 2008 tidak akan dibiarkan berkubur dengan mudah. Justeru pemimpin BN tidak boleh selesa. Keselesaan dan keyakinan sentiasa mendapat sokongan rakyat itulah yang merosakkan BN. Itu juga menjadi strategi PKR. Mereka mahu BN dibuai mimpi indah dan apabila terjaga segala-galanya telah terlewat.

Rakyat tentunya tidak mahu parti yang menang hanya kerana lawannya semakin lemah. Kerajaan yang memerintah bukan kerana kekuatannya tetapi berdiri akibat kelemahan satu pihak yang lain tidak akan mendapat tempat di hati rakyat.

Justeru, elak daripada berasa teruja lantaran terlalu teruja boleh memakan diri sendiri.

Sumber: Malaysia-Instinct

 
Leave a comment

Posted by on March 15, 2010 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s