RSS

PENDEDAHAN – AKTIVITI SEBENAR BTN – NIZAR KOMUNIS!

30 Nov

Latihan kendalian Biro Tatanegara (BTN) yang pertama saya ikuti adalah pada tahun 1991, iaitu sewaktu menuntut dalam Tahun Satu di Universiti Sains Malaysia (USM). Kali kedua adalah pada tahun 1993 dan yang ketiga adalah dalam tahun 1995.

Saya suka menceritakan sedikit pengalaman yang ditempuhi semasa mengikuti kursus BTN ini. Bersama 109 orang pelajar USM yang lain, saya sampai di Kem Wira Waja Janda baik (sekarang Institut Latihan UMNO (ILMU) ). Sesi pertama dimulakan dengan taklimat tentang disiplin yang perlu dipatuhi di kem. terutama dari segi kepatuhan terhadap ketepatan masa dan mengikut arahan.

Sepanjang tempoh kursus, kemi dikehendaki membasuh tray makanan dan gelas sendiri serta ditunjukkan kawasan bebas merokok yang digelar Sudut Maut. Kami dimaklumkan tentang jadual yang ketat, program ceramah, sukan, latihan dalam kumpulan dan program kembara. Bagi yang beragama Islam, kami dikehendaki bersembahyang jemaah setiap waktu dan ikut serta mendengar kuliah subuh serta melakukan solat hajat dan qiyamul-lail.

Sesi kedua adalah pembahagian kepada kumpulan-kumpulan dan `ice-breaking’ bagi membolehkan kami mengenali ahli-ahli kumpulan yang terdiri dari pelajar berlainan Sekolah Pengajian (Schools). Kami diminta melantik ketua kumpulan, menamakan kumpulan dan mencipta slogan. Setiap kumpulan diberikan bendera Malaysia dan diajar tata cara membawa dan menyimpannya. Kami dikehendaki berada dalam kumpulan dan membawa bendera Malaysia pada setiap masa. Sekiranya ada seorang ahli tercicir sekalipun atau lewat mengikuti program, kesemua anggota kumpulan akan didenda.

Kami diberi tanda nama yang besar dan sebiji telur ayam mentah yang kami tidak tahu apa tujuannya. Pada sesi pertama sahaja, hampir 30 orang peserta yang terpecahkan telur secara tidak sengaja; sama ada jatuh dari saku kemeja sewaktu tunduk; terpijak; pecah dalam saku seluar kerana terjatuh atau terlanggar meja. Bagi setiap yang terpecahkan telur, akan di’hadiah’kan dengan bata merah atau putih untuk dibawa ke mana sahaja. Sesiapa yang terlupa membawa telur atau batu ini, mereka juga akan didenda.

Dalam banyak program, ceramah dan kuliah subuh paling membosankan. Paling menarik adalah program kembara, permainan dalam kumpulan dan sukan. Semasa kembara malam, kami dikejutkan seawal jam satu pagi dan diminta beratur mendaki bukit yang curam. Malangnya malam itu hujan lebat dan lereng begitu licin. Pergerakan menaiki bukit amat sukar dan kami perlu saling sokong menyokong dan tarik menarik bagi membolehkan setiap peserta mendaki bersama-sama. Lebih sukar lagi, pada malam itu ada dua orang pelajar wanita yang kekejangan kaki dan terpaksa diusung sepanjang perjalanan. saya sendiri disengat tebuan, menyebabkan jari saya bengkak dan saya juga luka-luka akibat tergelicir semasa mendaki malam itu.

Apa yang saya belajar? Pengalaman penting bagi seorang anak muda yang masih tercari-cari erti kehidupan bernegara.

Dalam sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) barulah saya fahami maksud sebenar modul yang dilalui. Telur yang diberi kepada saya pecah dan saya diberikan bata putih yang berat sebagai ganti. Ia mungkin lebih berat, tapi tidak fragile. Kata fasilitator yang membimbing LDK, “itu gambaran bahawa dalam usaha membina sebuah negara, yang susah bukan untuk menjaga pembangunan tetapi untuk menjaga pertamanya; zuriat dan kedua, modal insan (dianalogikan dengan telur ayam mentah). Sebaliknya batu yang melambangkan pembangunan, lebih mudah dijaga. Jadi sekiranya seseorang itu tidak dapat diharap untuk menjaga keturunan dan sumber manusia, maka jagalah pembangunan sebaik-baiknya.”

Perjalanan mendaki bukit amat sukar. Lebih-lebih lagi pada waktu malam dan hujan lebat. Apa lagi dengan jari yang membengkak dan terpaksa mengusung peserta yang sakit. Kalau tidak saling bahu-membahu dan tarik-menarik ke atas, maka ada yang akan tercicir dan lebih buruk lagi dengan senang semua akan tergelincir. Maksudnya, proses pembinaan sebuah negara amat sukar dan tidak boleh dilakukan secara sendirian.

Untuk membawa setiap orang dalam arus perdana pembangunan, termasuk yang lemah, kurang upaya dan tercedera lebih sukar lagi. Jangan pula berperangai seperti ketam batu di dalam raga yang saling tarik menarik ke bawah sehingga tiada yang berjaya keluar dari raga.

Dalam sesi kuliah subuh, kami diajar tentang prinsip-prinsip penting aspek kenegaraan dalam Islam dan bagaimana untuk membentuk pandangan dunia (world view) seperti yang dianjurkan oleh Islam. Dijelaskan juga akan pengertian Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam yang ketika itu sedang diamalkan oleh kerajaan.

Dalam sesi ceramah, diterangkan tentang Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukunegara, termasuk tentang keharmonian kaum yang perlu dipertahankan. Turut diterangkan adalah dasar-dasar kerajaan ketika itu seperti Dasar pandang ke Timur, Dasar Penswastaan dan Dasar Pengkorporatan, termasuk pelaksanaan projek-projek kerajaan seperti projek kereta nasional, pembinaan Lebuh Raya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang.

Seluas-luas ruang diberikan kepada kami semua untuk bertanyakan soalan dan memberi pandangan dan sebagai golongan muda yang kritikal, kami memang mengambil sepenuhnya ruang tersebut (melainkan sewaktu kuliah subuh.. biasanya akibat mengantuk) untuk bertanyakan pelbagai soalan dan ada juga yang mengkritik kerajaan.

Hasilnya – selepas kursus, saya berpandangan bahawa saya mempunyai sikap cintakan negara yang lebih tinggi daripada sebelumnya. Saya menginsafi bahawa amat sukar untuk membina sebuah negara dan ia mengambil masa berpuluh-puluh tahun sedangkan mengkritik itu cukup mudah. Menghancurkan negara jauh lebih mudah dan mungkin boleh berlaku dalam sekelip mata sahaja.

Saya juga belajar bahawa setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing dalam pembinaan negara. Besar atau kecil bukan persolannya; setiap satunya penting dan kita wajar belajar menghargai setiapnya. Saya juga belajar bahawa kita semua mempunyai tanggungjawab peribadi (personal responsibilities) masing-masing dan kita perlu mengambil tanggungjawab peribadi dalam membangunkan negara, biarpun tanpa ada arahan dan sebarang ganjaran. Bukankah semua ini nilai-nilai murni dan universal dalam pembinaan sahsiah dan sebuah negara?

Adakah kita diajar bersifat perkauman? Seingat saya tidak pernah sekali pun kami diajar untuk membenci kaum-kaum lain. Sebaliknya kami diajar untuk menjaga keharmonian negara dan mempertahankannya sebaik mungkin. Dalam kursus yang pertama, kedua dan ketiga, modulnya hampir sama cuma dalam ceramah, topiknya sedikit berbeza kerana seperti yang disebutkan ramai, peranan BTN adalah untuk menerangkan dasar-dasar semasa amalan kerajaan ketika itu.

Adakah ia berguna untuk pelajar? Ya, sebab ini merupakan salah satu platform untuk membentuk semangat cintakan negara dan memupuk kefahaman tentang dasar-dasar kerajaan.

Adakah ia berguna untuk penjawat awam? Sepatutnya ia dijadikan kemestian. Saya tidak nampak bagaimana seorang penjawat awam boleh melaksankan tugas mereka, iaitu melaksanakan dasar-dasar kerajaan dengan baik tanpa mereka memahami dengan jelas dasar-dasar tersebut.

Jika mereka tidak bersetuju dengan dasar? Mungkin mereka wajar membezakan peranan mereka sebagai seorang pelaksana dasar dan bukan pembuat dasar. Jika mereka tidak mahu menghadirinya? Mungkin lebih elok mereka memilih profesion lain kerana ia akan menyukarkan mereka dan meletakkan mereka di dalam konflik. Mungkin ini yang berlaku hari ini dalam kerajaan dan perlu diperbaiki oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua-ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Professional.

Jadi kenapakah kerajaan Pakatan Pembangkang takutkan BTN? Mudah – kerana walaupun kononnya mereka ini memperjuangkan kebebasan bersuara dan memperoleh maklumat, namun secara realiti dan praktisnya, mereka hanya pakatan AUTOKRATIK yang sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menyekat kebebasan rakyat membuat pilihan; mendapat maklumat dan berdikusi secara intelektual semata-mata untuk mengekalkan kuasa mereka.

Disebabkan apa? Mungkin kerana mereka tahu bahawa mereka tidak akan dapat mempertahankan fitnah dan pembohongan mereka sekiranya minda rakyat dibuka dan didedahkan dengan sebanyak mungkin maklumat dan ilmu pengetahuan.

Hasil nukilan Tun Faisal!

 
Leave a comment

Posted by on November 30, 2009 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s