RSS

Apakah faktor tentukan BN atau PAS dipilih pengundi Selasa ini…

14 Jul

Oleh: ROSLAN BIAN

“Serba saloh kawe..alik tu kenal, alik ni kita kenal..dua-dua baik belaka.” Itu pengakuan Abe Loh, tauke kedai minuman di Manek Urai Lama, apabila Agendadaily cuba mendapatkan gambaran siapa bakal dipilih penduduk kampung itu yang juga adalah kubu kuat PAS.

Bagaimanpun katanya, peluang calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat dapat undi di kawasan itu ada.

“Hok kita dengar, orghe (orang) alik PAS sini tak berapa kenal Abe Uji ( Mohd Fauzi Abdullah-calon PAS). Demo kenal nama ja, lagipun dia niaga di Kuala Krai tapi Tuan Aziz biasa doh di kawasan ni,” kata Abe Loh lagi.

Sebenarnya, walaupun tinggal sehari saja lagi, rata-rata pengundi DUN Manek Urai masih belum tunjuk reaksi jelas siapa wakil rakyat akan mereka pilih pada 14 Julai ini.

Bagi pemimpin, petugas dan jentera BN, masing-masing masih berusaha bagi memastikan Tuan Aziz dapat menewaskan Fauzi, begitu juga dengan PAS.

Jika dibandingkan beberapa pilihan raya kecil lalu, petugas media yang buat liputan seperti dapat merasai ‘aura’ calon parti mana boleh menang tetapi di Manek Urai, ramai antara mereka masih tak berani teka atau ‘tembak’ siapa akan menang.

Namun jika boleh dijadikan perkiraan, kemungkinan ada tiga atau empat faktor yang akan menentukan kemenangan sama ada calon BN mahupun PAS pada Selasa nanti.

Walaupun ada janji-janji pembangunan termasuk menjadikan Manek Urai anak emas kerajaan Pusat, semua itu harus tolak ke tepi dulu sebab rakyat Kelantan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini tidak termakan tawaran pembangunan oleh Kerajaan Pusat.

Di Manek Urai kali ini, faktor pertama adalah kedua-dua calon yang ada kekuatan sendiri.

Tuan Aziz sejak kecil sudah di Manek Urai bersama keluarganya manakala Fauzi walaupun orang luar tetapi kekuatan PAS di Kelantan memberi kelebihan padanya selain rapat dengan arwah Ismail Yaacob, wakil rakyat PAS sebelum ini.

Bagaimanapun, penduduk Manek Urai sudah mengetahui bahawa Tuan Aziz melalui Kesedar sudah memberi banyak bantuan kepada mereka berbanding calon PAS.

Dalam erti kata lain, mereka sudah nampak hasil kerja Tuan Aziz serta mengetahui bahawa Ketua Pemuda UMNO Kuala Krai itu seorang yang mudah mesra dan senang bergaul dengan golongan muda mahupun tua.

Fauzi pula terpaksa bergantung kepada populariti arwah Pok Su Wei (Ismail) dan pengaruh Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk meraih sokongan berterusan pengundi-pengundi PAS.

Namun, ini tidak bermakna pengundi Manek Urai yang selama ini mengundi Ismail akan memberikan undi kepada Fauzi kerana sokongan padu mereka kepada Ismail berdasarkan batang tubuh bekas wakil rakyat PAS itu sendiri yang cukup dihormati penduduk Manek Urai.

Sebab itu,ada kemungkinan undi PAS beralih kepada calon BN selain faktor Tuan Aziz adalah pemimpin muda manakala 46 peratus pengundi di Manek Urai adalah golongan bawah 40 tahun.

Faktor kedua ialah pengundi atas pagar atau juga diistilah pengundi ‘kelabu’ yang kurang mengenali kedua-dua calon kerana tinggal di luar Manek Urai terutama di Kuala Krai dan Gua Musang tetapi menjadi pemilih di Dewan Undangan Negeri itu.

Dianggarkan ada kira-kira 500 pengundi yang tinggal dan bekerja di dua tempat tersebut.

Pengundi atas pagar atau kelabu ini mungkin membuat pilihan sendiri berdasarkan pandangan kasar mereka terhadap keupayaan kedua-dua calon ataupun kemampuan BN atau PAS.

Faktor ketiga adalah pengundi luar yang dianggarkan kira-kira 1,300 orang.

Jika dalam pilihan raya umum lalu, mereka mungkin pulang beramai-ramai mengundi tetapi mungkin dalam pilihan raya kecil ini tidak ramai berbuat demikian.

BN seakan-akan tidak lagi fokus kepada pengundi luar kerana serik dengan sesetengah daripada mereka yang pulang dan berjanji menyokong BN tetapi akhirnya memangkah PAS.

Ini yang sesetengah pemerhati politik iistilahkan sebagai PAS ‘curi ayam’.

Sebab itu, pemimpin PAS termasuk Presidennya mula mendesak Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) mengesa majikan membenarkan pekerja mereka pulang mengundi dan menuduh BN menetapkan pengundian pada hari bekerja bagi mengelak pengundi luar pulang.

Seandainya ramai pengundi luar tidak pulang, PAS kena bersedia berputih mata atau gigit jari dengan keputusan pilihan raya nanti.

Apapun pemimpin PAS sudah tidak sekata mengenai peluang mereka di Manek Urai.

Mereka berbeza pendapat mengenai peluang calon mereka.

Hadi pada Jumaat berkata,calon PAS ada peluang menang tetapi naibnya pula, Salahuddin Ayob mengakui persaingan sengit dan BN boleh menang jika jentera PAS tidak meningkatkan kempen.

Menurut Salahudidn, PAS tidak boleh pandangan ringan keupayaan BN dan perlu ada kejutan besar selain kerja kuat oleh PAS jika mahu menang.

“Kalau sambil lewa, peluang kita menang sukar,” katanya.

Hadi pula bagaimanapun jelas cukup bimbang jika pengundi luar Kelantan tidak pulang mengundi pada 14 Julai ini.

Katanya, PAS ada cara sendiri mengatasi masalah itu dan percaya mereka akan pulang dengan penuh semangat untuk mengundi seperti pilihan raya lalu.

Disegi kempen, kedua-dua parti agak seimbang walaupun ceramah PAS lebih ramai pendengar tetapi seperti biasa ‘PAS menang ceramah’ begitu juga ceramah kempen dihadiri Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Gerak kerja jentera BN pula nampak lebih tersusun di Manek Urai terutama adanya Pusat Operasi BN di Sungai Sok yang menyelaras semua aktiviti kempen dan sebagainya.

Dengan pencalonani Tuan Aziz yang mewakili Pemuda UMNO, jentera Pemuda diketua Khairy Jamaluddin tampak bekerja keras bukan sahaja bagi menawan hati kira-kira 5,000 pengundi muda tetapi golongan dewasa.

Kempen rumah ke rumah yang selama ini menjadi senjata PAS mulai dipraktikan BN.

Cadangan Manek Urai sebagai Anak Emas serta mahu menjadikan DUN berkenaan kawasan Agropolitan bagi membela nasib pekebun dan petani turut boleh jadi penyebab sekiranya pengundi mahu memilih BN.

Selain itu, lawatan demi lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau dan mendengar masalah penduduk Manek Urai dan memberi penjelasan kegagalan PAS dan Kerajaan Kelantan memajukan negeri itu boleh menyedarkan pengundi-pengundi untuk buat pilihan.

Lebih menarik Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Abdul Rahman dalam satu ucapan di Manek Urai berkata kepada pengundi, “Senang saja nak bagi BN menang. Tukar sikit saja..Tukar Datuk Nik Aziz Nik Mat kepada Tuan Aziz Tuan Mat,”.

Namun bersediakah pengundi-pengundi PAS di Manek Urai menukar pilihan daripada Nik Aziz kepada Tuan Aziz, persoalan tersebut bakal terjawab apabila 12,293 pemilih membuat keputusan Selasa ini.

Sehingga itu, tiada siapa dapat meneka dengan tepat siapa akan dinobat wakil rakyat Manek Urai menggantikan Ismail yang menang majoriti 1,352 menewaskan calon BN, Zulkifli Omar pada pilihan raya umum lalu-12/7/2009

 
Leave a comment

Posted by on July 14, 2009 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s