RSS

Kerajaan perpaduan syor PAS samar, kata Tun Dr Mahathir

18 Jun

mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata kerajaan perpaduan yang disyorkan PAS masih samar dan perlu diberi penjelasan terpeinci mengenai pelaksanaannya.

Beliau berkata, PAS perlu menyatakan dengan khusus maksud sebenar kerajaan perpaduan yang disyorkan mereka sama ada kerjasama itu hanya melibatkan Pakatan Rakyat dan Umno ataupun Barisan Nasional (BN) keseluruhannya.

“Mereka tak nyatakan secara terpeinci, apa maksud mereka dengan kerajaan perpaduan… jika PAS dan Umno sahaja, maknanya kita akan ada kerajaan Melayu.

“Macam mana Umno nak tinggalkan rakan-rakan lain dalam BN dan sertai kerajaan perpaduan, sama juga dengan PAS, takkan mereka nak tinggalkan parti sekutu mereka.

“Kita buat janji nak kerjasama dengan, lepas itu tinggal kawan-kawan kita nak kerja dengan orang lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas mengenai syarat terbaru PAS yang mahu libatkan rakan mereka dalam Pakatan Rakyat iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk wujudkan kerajaan perpaduan, Dr. Mahathir berkata Umno juga sudah pasti tidak akan meminggirkan parti komponen lain dalam BN.

“Kalau Umno pun kita kena libatkan parti MCA, MIC, Gerakan dan macam-macam lagi yang ada di Sabah dan Sarawak…kita takkan nak tinggalkan mereka begitu sahaja,” katanya.

Tambah Dr. Mahathir, dalam konteks Malaysia, kerajaan perpaduan yang ingin diwujudkan seharusnya melibatkan semua kaum yang terdapat di negara ini.

“Kalau nak buat kerajaan perpaduan dengan satu kaum sahaja, saya fikir itu bukan kerajaan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia, tapi perpaduan hanya di kalangan Melayu.

“Dalam negara ini kita ada semua masyarakat, jadi masih percaya sistem yang diamalkan BN adalah yang terbaik boleh digunakan dalam negara ini,” katanya.

Bagaimanapun Dr. Mahathir berkata beliau percaya dalam sesebuah kerajaan perlu wujudnya parti pembangkang yang akan menilai tahap prestasi parti yang memerintah.

“Saya percaya kita perlukan pembangkang, tanpa pembangkang kita tak tahu apa kesalahan yang kita buat.

“Tapi pembangkang sekarang bukan pembangkang yang bijak, mereka sepatutnya mengkritik tentang kerja yang dibuat oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu ditanya mengenai tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang meminta supaya Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden dan Ahli Parlimen Bachok kerana dilihat menyokong idea kerajaan perpaduan, Dr. Mahathir berkata tindakan tersebut adalah sesuatu yang normal.

“Biasalah kadang-kadang dia marah, dia dah tua sikit, macam sayalah nyanyuk barangkali, saya pun kadang-kadang marah juga.

“Masalahnya ialah mereka (PAS) sendiri tak nyatakan dengan lanjut tentang perkara itu…ada banyak kekeliruan,” katanya.

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

 
Leave a comment

Posted by on June 18, 2009 in Uncategorized

 

Tags:

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s